Polis tahan suri rumah jual air ketum

Gambar hiasan kredit MYKMU

ARAU— Polis menahan seorang suri rumah dipercayai menjadi pengedar air ketum menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di sekitar Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru Arau semalam.


Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 150 bungkusan plastik dan sembilan botol berpenutup dipercayai mengandungi air ketum di lantai tandas di bahagian dapur rumah.


“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat menjual air ketum dengan harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 Tambung Tulang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Ahmad Mohsin berkata suspek berumur 40 tahun itu dipercayai mula aktif menjual air ketum sejak enam bulan lepas.


Beliau berkata suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Jun.


“Barang rampasan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post