Mahu cepat untung, suri rumah rugi RM71,100



KANGAR—Seorang suri rumah mengalami kerugian RM71,100 selepas ditipu sindiket pelaburan wang tidak wujud menerusi aplikasi laman sosial yang menawarkan pulangan lumayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Supt Wan Aeidil Wan Abdullah berkata mangsa berusia 54 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan selepas melihat iklan “Sifuku Millennium” menerusi laman Facebook.

“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lumayan itu kemudian membuat pindahan wang permulaan berjumlah RM8,600 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada 24 Mei,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa membuat beberapa  pemindahan wang dalam tempoh seminggu bermula 24 sehingga 30 Mei.

Katanya wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada semalam selepas suspek menyedari bahawa beliau telah diperdaya oleh suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek bagi transaksi pelaburan berkenaan,” katanya.

Wan Aeidil berkata mengikut statistik polis sebanyak 22 kertas berhubung kes penipuan babitkan pelaburan tidak wujud dibuka dalam tempoh Januari hingga 2 Jun melibatkan kerugian  berjumlah RM211,393.16.

 “Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial dan dapat melakukan semakan terlebih dahulu menerusi perkhidmatan disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya.

--BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.