Notification

×

Iklan

Iklan

Pekerja kontrak edar dadah ke tali gantung

| Jun 01, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-01T09:12:30Z

MUAR— Seorang pekerja kontrak dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 183.14 gram dadah jenis methamphetamine, empat tahun lepas.


Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu ke atas Loo Yong Heng, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.


Mengikut pertuduhan, Loo didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Kontang, Tangkak, pada 10.30 pagi, 13 Feb 2018 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Tertuduh turut didapati bersalah bagi lima pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah berbahaya di lokasi, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.


Bagi lima kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.


Sepuluh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2018.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod manakala Loo diwakili peguam Lim Chon Sin.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update