Polis tembak enam das, pengedar dadah rempuh polis

Gambar hiasan

IPOH—Polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas dia bertindak agresif merempuh kereta polis dalam insiden di Ayer Tawar, Lumut hari ini.


Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam insiden pada 4 petang itu, kereta dipandu lelaki berusia 61 tahun tersebut ditahan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.


Beliau berkata suspek bagaimanpun cuba melarikan diri dengan bertindak merempuh bahagian depan kereta polis sebelum memecut laju kenderaanya.


“Tindakan itu mengancam pihak berkuasa menyebabkan polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 800 meter dari lokasi rempuhan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.


Mior Faridalathrash berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta lelaki itu menemukan 33 paket dadah jenis syabu seberat 62.5 gram.


"Polis turut menahan isteri suspek berusia 38 tahun serta anak pasangan itu berumur dua tahun yang berada di dalam kereta tersebut bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post