Miri terputus bekalan air lagi

Orang ramai beratur mendapatkan bekalan air. Gambar kredit LAKU

MIRI—Belum sampai seminggu selepas Miri menggalami gangguan bekalan air, penduduk di daerah ini sekali lagi menghadapi masalah yang sama awal pagi tadi.


Kali ini, penduduk Bandar raya Miri seolah-olah 'diserang hendap" dek kerana tiada notis pemberitahuan awal mengenai gangguan tersebut.


Pihak LAKU Management Sdn Bhd pada satu kenyataan akhbarnya yang dikeluarkan pada jam  4.30 pagi Khamis menyatakan telah berlaku satu kebocoran pada salah satu paipnya di Batu 7 Jalan Miri-Bintulu.


Kejadian kebocoran dilaporkan berlaku sekitar jam 2.30 pagi tadi.


Kebanyakkan orang ramai meluahkan rasa kecewa kerana kelewatan pihak LAKU mengeluarkan notis pemberitahuan kerana mereka rata-ratanya tidak sempat menyimpan air.


Difahamkan , pada saat ini pihak LAKU sedang melakukan kerja-kerja pembaikan pada paip yang bocor.


Dijangka kerja pemulihan paip tersebut dijangka siap pada Jumaat petang jam 5.


Sementara itu, tinjauan Borneo Network di sekitar bandar raya Miri termasuk kawasan Senadin dan Permyjaya, beberapa lori tanker mula kelihatan mengagihkan bekalan air kepada penduduk sekitar.


"Saya telah mengarahkan LAKU untuk menghantar beberapa lori tanker bagi menyalurkan bekalan air kepada penduduk di kawasan yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan air," ujar Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin.


Pada masa yang sama, di beberapa pasaraya di sekitar Miri, stok air mineral habis dijual bak 'pisang panas'.


Malah, menurut salah seorang pekerja sebuah pasar raya di Tudan, orang ramai sejak pagi tadi telah mula kelihatan beratur panjang bagi mendapatkan stok air mineral.


"Hanya tinggal baki 2 botol sahaja di sini," ujarnya.

Next Post Previous Post