Kes HFMD di Sarawak rekod penurunan

Dr Sim menghadiri Kempen Derma Darah sempena Hari Derma Darah Sedunia di Aeroville Mall di sini semalam.

KUCHING—Kes penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) di Sarawak mencatatkan angka penurunan dengan sebanyak 542 kes direkodkan pada minggu lepas.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berkata berkata, jumlah kes tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 280 kes daripada 822 kes pada minggu sebelumnya. 


"Penurunan kes tersebut adalah disebabkan cuti persekolahan," katanya ketika ditemui pemberita pada Kempen Derma Darah sempena Hari Derma Darah Sedunia di Aeroville Mall di sini semalam.


Bagaimanapun kata Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, jangkitan HFMD di Sarawak masih berada di tahap wabak kerana melebihi angka 472 kes. 


Katanya, kes jangkitan HFMD di Sarawak pada minggu biasa adalah kurang daripada 10 atau 20 kes seminggu. 


"Apabila kes jangkitan mencapai 370 kes ia dikategorikan sebagai tahap amaran dan tahap wabak apabila mencapai 472 kes. 


"Lebih-lebih lagi, minggu depan sesi persekolahan akan bermula justeru kita berharap agar pihak sekolah, pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak dan juga ibu bapa lebih peka akan penyakit ini. 


"Pastikan kebersihan sentiasa dijaga dan pantau tahap kesihatan anak-anak atau pelajar sepanjang masa,” katanya. 


Sebelum ini, Dr Sim mendedahkan kaedah utama penyebaran adalah melalui hubungan terus dengan orang yang menghidap penyakit tersebut.


Katanya, penyakit ini biasanya bermula dengan demam, kurang selera makan, tidak sihat dan selalunya dengan sakit tekak.


“Satu atau dua hari selepas mula demam, kudis yang menyakitkan biasanya timbul di dalam mulut bermula sebagai bintik merah kecil.


"Ia kemudiannya akan berkembang menjadi ulser, kemudian ruam kulit yang tidak gatal berkembang dalam tempoh satu atau dua hari dengan mempunyai bintik merah rata atau timbul," katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.