Kerajaan Negeri diminta beri bantuan RM300 bagi membantu belia mengambil lesen

Rentap (kanan) mengiringi Uggah (kiri) memasuki dewan

KUCHING: Kerajaan Negeri diminta agar menyediakan bantuan sebanyak RM300 kepada belia khususnya mereka berusia 17 bagi memudahkan urusan mengambil lesen kenderaan.


Ketua Pergerakannya, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ia bertujuan memudahkan urusan mereka mengambil lesen memandu kenderaan.


Beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan sebanyak RM300 menerusi institusi-institusi memandu di Sarawak untuk tujuan itu.



"Kalau kita boleh kasi sikit lah Datuk Amar (Datuk Amar Douglas Uggah), diharapkan agar kerajaan negeri dapat memberi bantuan berjumlah RM300 kepada belia kita melalui institusi-institusi memandu. 


"Ini boleh membantu mereka untuk mula berkecimpung dalam industri penghantaran makanan atau barangan seperti grab food, food panda, JNT (syarikat kurier) dan sebagainya," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Ke-15 2022 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB yang dirasmikan oleh Timbalan Yang DiPertua PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.



Hadir sama, Timbalan Yang DiPertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib-Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Dato Sri Fadillah Yusof dan Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nasar, Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ahli Majlis Tertinggi PBB yang lain.


Menurut Gerald yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, ia sebagai usaha memberi peluang kepada semua belia supaya dapat menyertai ekonomi gig pada era digitalisasi masa kini.


Dalam pada itu kata Gerald, penubuhan Pertubuhan Belia PBB membolehkan belia Sarawak terlibat dalam politik selain menyumbang daya tenaga demi masa depan negeri. 


"Justeru itu, pada Perhimpunan Agung Ke-15 2022 kali ini, perlembagaan parti akan dipinda untuk menubuhkan sayap baharu itu khusus untuk belia berusia 18 hingga 28 tahun.


"Ia merupakan antara langkah yang diilhamkan Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memperkasakan peranan belia dalam pembangunan Sarawak," katanya.

Next Post Previous Post