Dua lelaki ditahan cuba sogok polis RM25,000


KUALA LUMPUR— Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai cuba menawarkan wang sogokan RM25,000 kepada pegawai kanan polis selepas sebuah premis diserbu di Kepong, dekat sini, semalam.


Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kedua-dua lelaki berusia 40 dan 46 tahun itu ditahan dalam Op Kontraban oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Menurutnya.dalam operasi itu, polis turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka berusia 26 dan 30 tahun.


“Kami merampas 34,536 tin dan 889 botol minuman keras, dua kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai RM42,157 dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,228,391,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Noorsiah berkata seorang daripada empat lelaki yang ditahan pernah melakukan kesalahan sama pada 16 Mac lepas dengan nilai rampasan RM736,658.


Beliau berkata kesemua lelaki terbabit kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.


“Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama polis dan SPRM dalam meningkatkan keberhasilan serta memastikan ketelusan operasi yang dijalankan agar lebih berintegriti dan efektif,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.