Wanita maut, dua parah 4WD terbalik

Keadaan kenderaan 4WD dinaiki mangsa dalam kemalangan di Jalan Miri-Bintulu petang tadi. Gambar BBP Bintulu


BINTULU— Seorang wanita maut, manakala dua parah selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dinaiki terbabas ke bahu jalan lalu terbalik dalam kemalangan kendiri di Jalan Bintulu-Miri, dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian 2.27 petang itu, mangsa, Haniza Raini, 40, disahkan maut oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, dua lagi penumpang iaitu seorang lelaki, 39 tahun mengalami patah tangan kanan manakala seorang lagi wanita yang belum diketahui identiti patah kaki kiri.

“Sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu bergerak ke lokasi kejadian menerima panggilan kecemasan. Kesemua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu manakala kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan turut dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Next Post Previous Post