Notification

×

Iklan

Iklan

Beri rasuah RM200,000 lepaskan 5 rakan: Peniaga mengaku bersalah

| Jun 30, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-30T10:47:46Z


SEREMBAN-- Seorang peniaga mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM200,000 kepada anggota polis sebagai dorongan untuk melepaskan lima rakannya yang ditahan pihak polis atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan.

Mohd Zaed Asan, 34, yang berdepan dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut dengan seorang yang masih bebas.

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, mereka didakwa menawarkan dan memberikan suapan wang tunai berjumlah RM200,000 kepada seorang anggota Polis pada 14 November tahun lalu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakannya yang ditahan atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan semasa serbuan dibuat di sebuah kediaman di daerah Nilai, Negeri Sembilan pada 13 November 2021.

Bagi pertuduhan pilihan pula, mereka didakwa secara rasuah memberikan suapan berbentuk wang tunai sebanyak RM200,000 kepada seorang anggota polis pada 14 November tahun lalu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan semasa serbuan dibuat di sebuah kediaman di daerah Nilai, Negeri Sembilan pada 13 November 2021.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 terhadap tertuduh, atau penjara selama 24 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut manakala wang tunai RM200,000 pula akan dilucuthakkan  melalui SPRM kepada kerajaan Malaysia.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Menurut sumber, tertuduh ditangkap oleh SPRM di Balai Polis Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan kira-kira 8.30 pagi semalam sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Katanya, tangkapan itu dilakukan atas kerjasama antara SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, tertuduh sebelum ini pernah ditahan oleh pihak polis dan kini sedang menjalani Perintah Pengawasan Polis (POCA) kerana dipercayai terlibat dengan jenayah sindiket penipuan pelaburan atau scammer.
×
Berita Terbaru Update