50 juta rupiah hangus, kilang tauhu dan rumah pekerja musnah terbakar

Wang 50 juta rupiah dalam hangus selepas kebakaran memusnakan kilang tauhu dan rumah pekerja dalam kejadian pagi tadi. Gambar kredit Bomba Sarawak


KUCHING—Sebuah kilang tauhu bersama rumah pekerja di Jalan Ellis-Tan Sri Ong Lee Hui di sini musnah terbakar awal pagi tadi. 


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.22 pagi dan menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan  balai bantuan dari BBP Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang ke lokasi. 


Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran. Gambar kredit Bomba Sarawak


"Kebakaran melibatkan sebuah kilang tertutup jenis kekal yang dianggarkan berkeluasan 30x40 kaki persegi telah terbakar 30 peratus iaitu melibatkan mesin memproses serta stor penyimpanan bahan-bahan. 


"Kebakaran turut melibatkan enam bilik struktur rumah pekerja jenis tidak kekal yang  berada dalam ruangan kilang yang sama telah terbakar 100 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Gambar kredit Bomba Sarawak


Katanya lagi , kilang yang terlibat dalam kebakaran merupakan kilang memproses produk dari soya dan beroperasi ketika kebakaran berlaku. 


Bagaimanapun, jelasnya bomba telah berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.47 pagi dengan menggunakan 2 aliran 4 nozel Hos Hantaran sumber air pili bomba berdekatan dan memadam sepenuhnya kebakaran pada jam 8.32 pagi. 


"Setelah mendapati keadaan selamat pihak bomba berangkat balik ke balai," ujarnya. 


Difahamkan kebakaran itu turut menyebabkan wang kertas mata wang rupiah dianggarkan berjumlah 50 juta rupiah dipercayai milik pekerja hangus terbakar. 


Punca dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bomba. 

Next Post Previous Post