Notification

×

Iklan

Iklan

Wanita warga Indonesia maut ditikam penyamun

| Mei 30, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-30T02:42:31Z
Tragis... Polis menurunkan mayat mangsa, gambar kecil mangsa bersama anaknya

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati ditikam dalam satu kejadian samun di kediamannya di rumah kedai AK 415 Blok A, MJC Batu Kawa di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berusia 35 tahun itu dipercayai mati akibat dibunuh.


Kesan darah di tempat kejadian


Katanya, ia susulan terdapat kecederaan luka besar di leher bahagian hadapan kerongkong mangsa disyaki daripada tikaman senjata tajam.


"Tiada kesan pecah masuk rumah di lokasi kejadian manakala keadaan mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah," katanya.


Menurut Abang Zainal, motif kejadian adalah kes samun apabila terdapat beberapa barang pribadi milik mangsa didapati hilang selain terdapat kesan-kesan barangan mangsa digeledah.


Sementara itu katanya, pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.30 petang semalam daripada seorang pengadu.


Menurut laporan itu, pengadu memaklumkan dia telah didatangi oleh anak perempuan mangsa yang berusia antara tiga ke empat tahun yang menangis meminta pertolongan.


"Apabila pengadu bertanya kepadanya, kanak-kanak itu telah membawa pengadu ke atas rumahnya, dan apabila pengadu masuk ke sebuah bilik mendapati mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri. 


"Pengadu terus bertindak ke balai polis untuk mendapatkan bantuan," katanya sambil menambah kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).


Difahamkan, anak mangsa kini dibawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

×
Berita Terbaru Update