Untung bersih Ta Ann melonjak kepada RM104.62 juta


KUALA LUMPUR—Ta Ann Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM104.62 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 (S1 2022) daripada RM40.98 juta pada tempoh sama, tahun lepas.


Peningkatan tersebut disumbangkan oleh purata harga jualan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, buah tandan segar (BTS) serta produk papan lapis masing-masing sebanyak 50 peratus, 61 peratus dan 44 peratus, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.


Perolehan hasilnya turut meningkat kepada RM487.75 juta daripada RM340.62 juta sebelum ini.


Ta Ann Holdings turut mencatatkan perolehan sebanyak RM28.53 juta daripada perubahan dalam nilai saksama aset biologinya dalam suku semasa yang dikaji daripada perolehan RM11.11 juta dalam suku sama sebelumnya.


Mengulas prospek, syarikat itu menjangkakan prestasi kewangan yang baik bagi tahun kewangan 2022 dengan mengambil kira kekurangan bekalan minyak sayuran akibat krisis ketenteraan di Eropah Timur serta faktor perubahan alam sekitar.


“Momentum penetapan harga kayu balak tropika dijangka kekal kukuh berikutan bekalan yang terhad dan kawalan ketat terhadap pembalakan tempatan serta pemulihan ekonomi secara berperingkat akibat kelonggaran sekatan (pandemik) di sebahagian besar negara-negara.


“Bagi suku kedua 2022, Ta Ann Holdings turut mencatat kenaikan kecil bagi pengeluaran BTS,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post