Ingatkan jual barang makanan, rupa-rupanya jual judi dalam talian


BAU-- Seorang wanita ditangkap disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan judi dalam talian yang berselindung disebalik operasi kedai serbaneka di Bangunan Fook Onn, Pekan Jambusan di sini tengah hari tadi. 


Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditangkap sekitar jam 12.30 tengah hari di kedai serbaneka tidak bernombor, Bangunan Fook Onn, Pekan Jambusan. 


"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) mengadakan Op Dadu telah menahan seorang wanita disyaki menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 



Tambahnya, polis turut merampas seunit telefon pintar jenama Oppo F1S bewarna putih, sekeping simkad Hotlink dan sejumlah wang tunai.


Jelasnya, tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 


Selain itu, Poge berkata, suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. 


"Di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika sabit kesalahan," tegasnya.

Next Post Previous Post