Untung bersih Maybank catat RM2.04 bilion

Gambar arkib kredit Maybank

KUALA LUMPUR—Keuntungan bersih Maybank Banking Bhd (Maybank) susut 14.5 peratus kepada RM2.04 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 daripada RM2.39 bilion pada tempoh yang sama tahun kewangan 2021.


Dalam kenyataan pada Khamis, bank itu menjelaskan prestasi tersebut disebabkan keruncingan ketegangan geopolitik dan turun naik pasaran yang memberi kesan kepada persekitaran operasi.


Walaupun pembukaan semula ekonomi serantau membawa kepada peningkatan pertumbuhan pinjaman dan mengurangkan caj rosot nilai, namun kesan positif ini telah diimbangi oleh kelemahan pasaran, menurut  bank keempat terbesar di Asia Tenggara dan terbesar di Malaysia dari segi aset itu.


Perolehan bank itu juga berkurangan kepada RM11.91 bilion daripada RM12.22 bilion bagi tempoh yang sama manakala pendapatan asas sesaham pula turun kepada 17.22 sen daripada 20.96 sen.


Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata permulaan 2022 kelihatan cerah dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi secara aktif dan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur bagaimanapun, peningkatan keruncingan ketegangan geopolitik dan turun naik ketara pasaran yang terhasil serta tekanan inflasi telah melemahkan sentimen ini.


Beliau berkata walaupun pihaknya berhati-hati dalam unjuran bagi baki tahun kewangan ini memandangkan ketidaktentuan yang ketara, Maybank akan kekal berpandukan strategi pandangan ke hadapan yang ditetapkan dalam Pelan M25.


“Kami berhasrat untuk memacu pertumbuhan perniagaan baharu secara aktif dalam tempoh pemulihan ini, dan pada masa sama terus menyokong pelanggan untuk memastikan mereka dapat kekal mampan dalam jangka panjang,” katanya.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata Maybank akan menumpukan usaha untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan merentas segmen pelanggan dalam pasaran utama di samping mengekalkan kekukuhan modal dan kecairan untuk memudahkan peluang pertumbuhan.


“Pada masa yang sama, kami akan memastikan keupayaan pengurusan risiko kekal teguh, dan usaha pengurusan kos dan produktiviti diteruskan.


“Selain itu, kami menyasar untuk mempercepat pelancaran penyelesaian pada platform digital untuk terus memenuhi perjalanan pelanggan selain meningkatkan penembusan pasaran di peringkat rantau,” katanya dalam kenyataan yang sama.


Bagi prestasi suku pertama tahun kewangan 2022, pendapatan berasaskan dana bersih Maybank meningkat 5.3 peratus kepada RM4.89 bilion memandangkan margin faedah bersih (NIM) meningkat tiga mata asas tahun ke tahun susulan perbelanjaan faedah yang lebih rendah, dan pinjaman meningkat 5.2 peratus.


Menurut Maybank, bagaimanapun ini telah diimbangi oleh penurunan jumlah pendapatan berasaskan fi bersih sebanyak 28.3 peratus kepada RM1.56 bilion merentas kebanyakan segmen perniagaan disebabkan ketidaktentuan pasaran.


Akibatnya, pendapatan operasi bersih merekodkan 5.4 peratus lebih rendah kepada RM6.45 bilion berbanding dengan RM6.83 bilion sebelumnya, tambahnya.


Bank itu juga memaklumkan di sebalik aktiviti ekonomi yang bertambah baik di peringkat rantau, overhed meningkat empat peratus tahun ke tahun susulan perbelanjaan berkaitan hasil yang lebih tinggi.


Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) pula 45.5 peratus dan ia berada dalam lingkungan panduan tahun kewangan 2022 iaitu 45 hingga 46 peratus.


Kerugian rosot nilai kumpulan terus susut sebanyak 31.3 peratus kepada RM597.1 juta daripada RM868.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021.


Pinjaman kasar meningkat kepada RM562.0 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM534.4 bilion pada tempoh sama tahun kewangan 2021, diterajui oleh operasi Singapura yang berkembang 7.2 peratus dan operasi Malaysia pula berkembang 4.9 peratus.


Maybank menjelaskan, operasi Maybank di Indonesia bagaimanapun mencatatkan penurunan 2.0 peratus terutama akibat strategi berterusannya untuk mengimbangi semula portfolio bukan runcit dalam segmen perkhidmatan kewangan komuniti bagi mengurangkan risiko.


Dari segi prestasi sektor, perbankan global kumpulan mencatatkan kenaikan kukuh 8.9 peratus bagi pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM1.58 bilion untuk suku pertama tahun kewangan 2022, disokong oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada perbankan korporat dan pasaran global kumpulan serta perbankan pelaburan kumpulan.


Perniagaan perbankan Islam kumpulan Maybank pula mencatatkan peningkatan jumlah pendapatan sebanyak 3.6 peratus kepada RM1.74 bilion daripada RM1.68 bilion setahun sebelumnya berikutan kenaikan pembiayaan dan pendahuluan pada 7.4 peratus serta 4.8 peratus peningkatan yang dicatatkan akaun deposit dan pelaburan.


Etiqa Insurans dan Takaful menyaksikan kenaikan jumlah premium bersih diselaraskan sebanyak 4.6 peratus kepada RM1.57 bilion susulan peningkatan 21.6 peratus yang direkodkan jumlah premium am.


Menurut Maybank, selaras dengan misinya menginsankan perkhidmatan kewangan, pihaknya terus menawarkan pelbagai pakej bantuan pembayaran balik kepada pelanggan yang kekal terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.


Pada 30 April, 2022, kira-kira 16.8 peratus daripada baki pinjaman terkumpul di Malaysia kekal di bawah pelepasan, manakala bahagian di Indonesia dan Singapura masing-masing berada pada tahap 11.6 peratus dan 3.3 peratus.


Semasa rehat tengah hari, saham Maybank meningkat 0.11 peratus kepada RM8.97 dengan 1.75 juta saham bertukar tangan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.