Seleweng minyak masak, KPDNHEP minta pengguna Sabah buat laporan

Nanta Linggi semasa meninjau harga dan bekalan barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kaamatan 2022 di sini, hari ini. (Gambar Twitter)

SANDAKAN— Pengguna di Sabah terutama di pantai timur, diminta menyalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika berlaku penyelewengan dalam penjualan minyak masak.


Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata biarpun pihak penguatkuasaan KPDNHEP menjalankan siasatan secara berterusan, maklumat daripada masyarakat juga berguna dalam membanteras penyelewengan itu.


"Mungkin ada penyelewengan (minyak masak) berlaku yang kami tidak tahu, jadi kami berharap ada kerjasama daripada semua pihak.


"Jangan takut sebab kami ada pelbagai saluran untuk aduan dan maklum balas yang boleh sampai ke pihak kami (kementerian)," katanya selepas meninjau harga dan bekalan barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kaamatan 2022 di sini, hari ini.


Nanta ditanya pemberita mengenai isu penyelewengan minyak masak bersubsidi di pantai timur Sabah, sama ada dijual ke negara jiran atau minyak masak paket dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan pada harga tinggi oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Mengenai SHMMP, beliau berkata maklum balas yang diterima KPDNHEP mendapati bekalan barangan terlibat mencukupi di Sabah.


"Kami sentiasa sensitif dan prihatin dengan keadaan bekalan barangan keperluan lebih-lebih lagi ketika musim perayaan, baru-baru ini kami merayakan Aidilfitri dan beberapa hari lagi Pesta Kaamatan di Sabah dan Gawai di Sarawak," tambahnya.


Nanta turut memberitahu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dipanjangkan ke Sandakan selama tiga hari bermula esok di pasar raya besar Bataras, dengan pengguna boleh menikmati potongan harga lima hingga 20 peratus bagi barang keperluan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.