Turun ke jalan raya, protes harga barang mahal, MP Pasir Gudang


JOHOR BARU— Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim mendesak rakyat turun ke jalan raya bagi membantah harga barang makanan mahal. 


Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa gagal mengurus tadbir negara. 


Selain harga barang melambung naik, beliau memberitahu nilai ringgit Malaysia juga jatuh menjunam. 


Tegasnya, keadaan ini memberi kesan kepada rakyat yang sengsara ketika ini. 


"Seruan kepada rakyat, nilai ringgit Malaysia jatuh menjunam, harga barang makanan naik melambung dan kerajaan gagal mengurus negara. 


"Rakyat jelata sekarang sengsara, Parlimen Malaysia kini sunyi suaranya, hanya ada satu saja pilihan rakyat, turun protes di jalan raya," katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam. 


Hassan berkata, beliau bertanggungjawab atas seruan ini. 


"Seruan ini dikeluarkan dengan penuh tanggungjawab oleh saya, Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang bertarikh 22 Mei 2022 (Ahad)," ujarnya. 


Bagaimanapun, beliau tidak mengatakan tarikh, masa dan tempat di mana protes itu akan diadakan. 


Memetik laporan Malay Mail, nilai ringgit pada Khamis naik RM4.40 berbanding dolar AS. 


Malaysia juga mengimport kira-kira 60 peratus barangan makanan dan ia terjejas dengan lonjakan harga import. 


Malam semalam, Perdana Menteri mesyuarat Kabinet secara mingguan akan membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan bekalan makanan. 


Jelasnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Industri Makanan dan Asas Tani akan membentangkan pelan jangka pendek dan panjang dalam mesyuarat itu. 

Next Post Previous Post