Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak dilaksana tahun depan

Mahkamah Bumiputera Sarawak


KUCHING—Pelaksanaan transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak dijangka bermula tahun depan bagi membolehkannya menjadi sebuah institusi kehakiman yang bebas dan berautonomi seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat berkata pada masa ini kajian transformasi adalah pada peringkat akhir, dan pihak kerajaan Sarawak sedang dalam proses untuk meneliti dan mengkaji syor-syor yang disarankan oleh pihak konsultan.


“Tindakan susulan seterusnya, setelah menerima laporan akhir dari konsultan dan kelulusan jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemandu, kerajaan akan membentang kepada Kabinet negeri untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan John Ilus (GPS-Bukit Semuja) semasa sesi pertanyaan pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.


Menurutnya proses transformasi ini penting untuk penstrukturan serta menaik taraf mahkamah berkenaan agar menjadi seperti Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post