Pemberian Khas: Sarawak tak mahu kerajaan Persekutuan beri sebarang angka, Sharifah Hasidah


KUCHING— Sarawak telah meneruskan rundingan dengan kerajaan Persekutuan mengenai kelayakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata perkara tersebut sedang dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama di bawah Majlis Khas mengenai MA63 (MKMA63).


“Kerajaan Negeri meminta mesyuarat jawatankuasa perundingan bersama ini diadakan dalam masa terdekat supaya formula semakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perkara lain yang berkaitan dapat dibincangkan dan dipersetujui,” katanya.


Menjawab soalan Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) semasa sesi soal jawab persidangan DUN, beliau berkata rundingan itu bagi memastikan pemberian khas kepada Sarawak dapat diagihkan secara adil dan saksama, dengan kerajaan Negeri sebenarnya telah mengemukakan formula untuk menyemak semula pemberian khas tersebut.


“Malah Primier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru telah menegaskan bahawa  pemberian khas itu haruslah dibuat berdasarkan formula yang munasabah dan pragmatik.


“Kami tidak mahu kerajaan Persekutuan hanya memberikan sebarang angka, dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 112d Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Beliau menambah bahawa di bawah Perkara 112d(6) Perlembagaan Persekutuan, jika dalam mana-mana semakan kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak dapat mencapai sebarang persetujuan mengenai apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujuk kepada penilai bebas dan syor mengenainya hendaklah mengikat Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan hendaklah dikuatkuasakan seolah-olah ia adalah persetujuan kedua-dua kerajaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post