RMK12: Sarawak peruntuk RM60 juta selenggara, naik taraf fasiliti sukan

Datuk Gerald Rentap Jabu. Gambar UKAS

KUCHING— Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak memperuntukkan RM60 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf semua fasiliti sukan di negeri ini.


Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata kerja-kerja menaik taraf fasiliti sukan itu dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula 2021.


“Kementerian saya akan mengemukakan semula cadangan ini semasa Kajian Separuh Penggal selaras dengan Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 2030,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ding Kuong Hing (GPS-Meradong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.


Menurutnya Bahagian Sarikei yang turut melibatkan kawasan DUN Meradong telah melahirkan beberapa atlet terkemuka yang telah menyumbang pingat pada Sukan SEA Hanoi yang berakhir hari ini.


Mereka terdiri pemenang pingat emas Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xio Mei yang kedua-duanya dalam acara baling tukul besi lelaki dan wanita, selain Queenie Ting Kung Ni yang memenangi pingat perak acara lempar cakera wanita. 


“Kerajaan GPS dan kementerian saya komited dalam membina dan menyelenggara fasiliti sukan untuk melahirkan juara seiring dengan visi kementerian menjadikan Sarawak kuasa sukan menjelang 2030,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post