Tokan dadah Sungai Maong tumpas

Rampasan pelbagai jenis dadah, wang tunai dan barang kemas. Gambar kredit JSJN Sarawak 

KUCHING— Polis berjaya menangkap seorang lelaki dipercayai tterlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Sungai Maong di sini pada Isnin lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditangkap pada jam 6 petang, 23 Mei lalu.


"Suspek sebelumnya ditahan untuk pemeriksaan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.


"Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM14,014," katanya dalam kenyataan hari ini.



Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki tempatan di Kuching.


Tambah Mustafa, bekalan dadah itu akan dibungkus semula dan dijual kepada penagih-penagih di sekitar kawasan Batu Kawa dan Padawan.


“Antara dadah yang dirampas daripada suspek adalah pil ekstasi, jus ekstasi, ketamin dan cecair campuran ganja.


Polis turut merampas wang tunai RM20,000 serta barang kemas dianggarkan bernilai RM14,270,” katanya.


Tegasnya, suspek kini ditahan reman sehingga 30 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, juga boleh dihukum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Next Post Previous Post