Tergamam rusa liar datang bertandang

Seekor rusa liar tersesat dan ditemui di kawasan parkir kereta di Kampung Lempaong, Betong. Gambar kredit Bomba Betong

BETONG— Seorang penduduk di Taman Perumahan Lempaong, dekat sini dikejutkan dengan kehadiran seekor rusa dewasa liar yang  tersesat dan ditemui di kawasan parkir kereta hadapan rumahnya, petang semalam.


Menurut pengadu, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, beliau terdengar bunyi bising datang dari luar rumah.


Tuan rumah turut memberikan makanan dan minuman kepada 'tetamu' yang tak diundang. Gambar kredit Bomba Betong


Beliau yang tergamam dengan kunjungan rusa itu kemudian menghubungi pihak bomba untuk membantu menangkap binatang liar tersebut.


Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Betong, PPgB Vincent Baling Yabi, berkata sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas menangkap rusa.


Anggota bomba menangkap dan mengikat rusa tersebut menggunakan tali dengan penuh berhati-hati agar tidak mencederakan binatang liar itu. Gambar kredit Bomba Betong


"Sampai di kediaman pengadu, didapati rusa itu agak jinak berbanding rusa hutan lain yang biasanya liar dan agresif.


"Usaha menangkap rusa liar tersebut berjaya dijalankan tanpa mencederakan haiwan tersebut dan diikat menggunakan tali," katanya.


Rusa itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Bahagian Betong sementara menunggu untuk dihantar ke Kuching memandangkan di sini tiada  tempat penyimpanan.

Next Post Previous Post