Tak dapat duit belanja ke Bintulu, lelaki mengamuk ugut pukul ibu

Suspek ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut. Gambar kredit Polis Miri

MIRI—Hanya kerana tidak diberi duit belanja dan dilarang menunggang motosikal ke Bintulu, seorang lelaki secara tiba-tiba berang memecahkan barangan di rumah sebelum mengugut memukul ibunya, dalam kejadian di Bandar Baru Permyjaya petang Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berusia 53 tahun yang juga seorang suri rumah berada di rumah mereka sebelum didatangi suspek berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek mula mengamuk dengan memaki-hamun dan memecahkan barangan yang ada di dalam rumah, selepas mangsa enggan memberikan wang belanja dan tidak membenarkan suspek menunggang motosikal ke Bintulu.

“Suspek yang belum puas hati melimpaskan kemarahan dengan memecahkan harta benda kemudian mengugut mencederakan ibunya.

Namun mangsa sempat melarikan diri sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, suspek diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)IPD Miri sekitar jam 7.30 malam hari yang sama sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Next Post Previous Post