‘Simpang maut’ di Jalan Sungai Plan resahkan penduduk

Keadaan kereta dipandu abang mangsa yang terjatuh ke dalam parit besar tepi simpang tiga Jalan Sungai Plan pada awal pagi Ahad disebabkan terkeliru dengan jalan di kawasan terbabit. Gambar kredit netizen

BINTULU—Penduduk di kawasan Kidurong khususnya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan melahirkan kebimbangan terhadap insiden kenderaan terjatuh di kawasan simpang tiga Jalan Sungai Plan.

Ini kerana laluan terbabit tidak mempunyai besi penghadang jalan serta penunjuk arah jalan yang terang hingga mengundang kemalangan.

Borneo Network difahamkan, sudah beberapa kali berlaku insiden kereta terjatuh ke dalam parit besar tepi jalan kerana keliru dengan keadaan jalan di kawasan berkenaan.


Seorang penduduk, lelaki berusia 47 tahun yang enggan identiti didedahkan berkata, laluan di simpang tiga terbabit hampir meragut nyawa abangnya pada awal pagi Ahad lalu selepas kereta yang dipandu terjunam ke dalam parit besar.

"Nasib baik semasa kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu, orang awam melihat kereta mangsa sebelum memaklumkan kejadian itu kepada saya,” jelasnya.

Justeru, dia berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya dengan menyediakan penghadang jalan yang tinggi dan selamat bagi mengelakkan kejadian sama berulang di kawasan terbabit terutama pada waktu malam.

Difahamkan, laluan terbabit amat gelap dan mendatangkan bahaya kepada pemandu terutama pada waktu malam.
Next Post Previous Post