-->

Notification

×

Iklan

Iklan

RM48.34 juta kos tenaga berjaya dijimatkan tahun lepas

| Mei 17, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-17T12:05:03Z
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju (gambar sisipan) berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil EMGS di sini hari ini. Gambar kredit KETSA

KUALA LUMPUR— Negara telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM48.34 juta bersamaan 132.43 GigaWattjam (GWj) penggunaan tenaga elektrik setakat 31 Disember tahun lepas, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju. 

Beliau berkata penjimatan itu, antara lain, dicapai menerusi program pensijilan Energy Management Gold Standard (EMGS) yang menekankan penggunaan tenaga dengan cekap oleh sektor bangunan dan industri di seluruh negara selain pelaksanaan sistem pengurusan tenaga lestari. 

"Program ini (EMGS) selari dengan usaha kerajaan ke arah pembudayaan amalan kecekapan dan konservasi tenaga di peringkat nasional.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyokong sepenuhnya program ini dan berharap pelaksanaannya dapat diperluaskan supaya meliputi lebih banyak sektor dan industri," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penganugerahan Sijil EMGS di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ali turut memaklumkan komitmen kerajaan untuk memacu pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2016-2025.

Menurutnya, pelan tindakan tersebut menyediakan kerangka dan strategi bagi pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga bagi sektor komersial, industri dan domestik dengan sasaran pengurangan penggunaan tenaga elektrik melebihi 50,000 GWj dalam tempoh 10 tahun, iaitu lapan peratus pengurangan permintaan tenaga pada 2025.

"Sasaran ini turut menganggarkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca melebihi 37,000 kilo tan karbon dioksida ekuivalen (ktCO2e)," katanya. 

Pada majlis itu, sebanyak 128 organisasi dianugerahkan sijil EMGS yang merangkumi 27 organisasi menerima sijil penarafan satu bintang, 44 organisasi (dua bintang) dan 57 organisasi menerima sijil penarafan tiga bintang.

-- BERNAMA
×
Berita Terbaru Update