Nelayan Vietnam sanggup belayar ribuan kilometer untuk merompak ikan Sarawak

Kru dan bot nelayan asing yang ditahan pasukan APMM Bintulu petang Ahad. Gambar APMM Bintulu

BINTULU—Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kira-kira 110 batu nautika dari Utara Tanjung Sirik, sekitar jam 3.15 petang, Ahad lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu telah dikesan sekitar jam 2.50 petang dalam keadaan mencurigakan ketika dihampiri penguat kuasa Maritim Malaysia.


"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kesemua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah yang mana kesemua kru yang ditahan termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 16 hingga 52 tahun dan merupakan warga Vietnam," ujarmya dalam kenyataan hari ini.

Hasil rampasan katanya dianggarkan berjumlah RM1.5 juta merangkumi dua bot, peralatan menangkap ikan 700 kilogram ikan campur serta 20,000 liter diesel.


Kedua-dua bot nelayan asing itu menurutnya ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi empunya atau nakhoda dan RM600, 000 bagi taip-tiap anggota kru jika disabitkan bersalah.
Next Post Previous Post