Penolong jurutera ditahan minta suapan bagi kerja pembaikan sekolah


KUALA LUMPUR—Seorang penolong jurutera sebuah agensi kerajaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah RM80,000 untuk kerja pembaikan sebuah sekolah di Selangor.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai agensi berkenaan, setelah dikatakan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang individu lain, di sebuah restoran sekitar Bangi kira-kira pukul 4 petang ini.

“Suspek merupakan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu,” kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, lelaki terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post