Tiga suspek rompakan bersenjata awal pagi di Kampung Semawang ditahan

Keadaan dalam rumah mangsa yang berselerakan dalam kejadian rompakan bersenjata di Kampung Senawang, Kota Samarahan awal pagi semalam.

KOTA SAMARAHAN— Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai melakukan rompakan bersenjata ke atas empat orang termasuk warga emas di Kampung Semawang, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 33 tahun yang ditahan merupakan penduduk tempatan dari kampung berhampiran.

“Suspek kini direman enam hari dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu semalam sekitar jam 9.52 pagi, pihak polis telah menerima laporan daripada orang awam mengenai satu rompakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada penghuni.

Sudirman berkata, bertindak atas laporan tersebut pihak polis yang terdiri daripada unit forensik dan unit pengesan anjing K9 telah digerakkan ke lokasi kejadian.


“Pengadu dalam kes ini memaklumkan menerima panggilan daripada kakaknya yang berada di tempat kejadian bahawa rumah keluarga milik mereka yang didiami ibu, bapa, abang serta kakak pengadu telah dimasuki suspek yang tidak dikenali memakai pakain serba hitam serta bertopeng sekitar jam 2 pagi.

Suspek telah meminta wang daripada mangsa sehingga berlaku pergelutan di antara suspek dan mangsa. Kesemua mangsa telah dipukul menggunakan objek keras di bahagian kepala dan anggota badan,” katanya.

Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari hospital.
Next Post Previous Post