Rakyat Sarawak perlu bersatu suara kembalikan hak negeri, Abang Jo

Gambar Sarawakku

KUCHING—Rakyat Sarawak diseru terus bersatu suara bagi meneruskan usaha mengembalikan hak negeri itu yang telah terhakis, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya usaha sama itu penting dalam melaksanakan perkara-perkara yang belum terlaksana seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya yakin rakyat Sarawak juga akan memberi sokongan padu kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar suara Sarawak terus diberi perhatian sebaik mungkin di peringkat kebangsaan.

“Suara Sarawak di Parlimen harus lebih kuat daripada sedia ada supaya negeri ini terus dihormati sebagai kuasa yang menyumbang kepada kestabilan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok.

 Abang Johari juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri pimpinan beliau akan melakukan yang terdaya untuk menunaikan 34 perkara yang dijanjikan dalam Manifesto GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas.

Katanya matlamat utama GPS adalah untuk menjaga kebajikan rakyat serta membangunkan negeri ini sama ada di kawasan bandar dan luar bandar sehingga mampu mencapai status negeri maju dalam tempoh masa lapan tahun lagi.

Menurutnya kerajaan GPS juga telah membuktikan bahawa anak Sarawak sendiri mampu mengurus negeri ini dengan baik, khususnya ketika negeri berhadapan pandemik COVID-19.

“Kerajaan Sarawak telah menangani penularan COVID-19 dengan baik dan melaksanakan program pemberian vaksin dengan keberkesanannya meliputi orang dewasa dan juga kanak-kanak.

“Ekoran program vaksinasi yang agak menyeluruh, penularan COVID-19 di Sarawak mampu dikawal dengan baik jika dibanding dengan kawasan-kawasan lain,” tambahnya. 

 -- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.