Pemuda mabuk bergaduh, baling botol mencederakan pengunjung pusat hiburan

MIRI : Padah bergaduh dengan membaling botol kaca sehingga menyebabkan pengunjung lain mengalami kecederaan, dua lelaki warga tempatan ditahan polis awal pagi Ahad (22 Mei).

Kejadian dilaporkan berlaku di dalam sebuah pusat hiburan di Pusat Komersial Centrepoint di sini.

Hasil siasatan awal mendapati kedua -dua suspek berusia 23 dan 39 tahun itu sedang mabuk semasa kejadian.

"Bertindak daripada laporan diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan kedua-dua suspek untuk tindakan lanjut,"ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.


Katanya, objek yang digunakan dalam pergaduhan tersebut juga turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Justeru itu, beliau turut menasihatkan komuniti di Miri supaya tidak menggunakan sebarang kekerasan dalam menyelesaikan pertelingkahan dan pergaduhan demi menjaga kesejahteraan dan keamanan bersama.

Pihak Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan jenayah kekerasan ini, katanya.


Next Post Previous Post