Bekas penyewa rumah kantoi curi TV, tong gas dan mesin basuh

MIRI-- Padah 'menyapu' beberapa barangan milik bekas tuan rumahnya, seorang lelaki diberkas polis lewat petang Ahad (22 Mei) untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian yang disedari pada awal April lalu (1 April), pemilik rumah yang terletak di kawasan perumahan RPR Taman Permai Bandar Baru Pemyjaya, dikejutkan dengan kehilangan tiga barangan miliknya dipercayai dilarikan oleh bekas penyewanya.

Antara barangan yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri ialah sebuah TV, seunit tong gas memasak dan sebuah mesin basuh.

Susulan itu, mangsa berusia 55 tahun itu telah tampil membuat satu laporan polis.

Bertindak daripada laporan yang dibuat, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri menerusi Ops Pintu pada Ahad telah berjaya mengesan suspek berusia 41 tahun itu di sebuah kediaman di Jalan Hill Top.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, tangkapam dilakukan sekitar jam 6 petang.

Difahamkan, suspek ada bertindak agresif terhadap anggota JSJ ketika ditahan memaksa mereka menggunakan kekerasan yang minima bagi menjayakan penangkapan tersebut.

Kes disiasat mengikut Sekshen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Next Post Previous Post