Pemuda, gadis maut, motosikal hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Bako

Dua maut selepas motosikal mereka hilang kawalan lalu terbabas berdekatan Pusat Konvensyen Penview Kuching (PCCK), Jalan Bako awal pagi tadi. Gambar Trafik

KUCHING-- Seorang penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal ditunggang mereka hilang kawalan lalu terbabas berdekatan Pusat Konvensyen Penview Kuching (PCCK), Jalan Bako awal pagi tadi. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, penunggang dikenali Marcos Kalom Jubang berumur 20 tahun dan pembonceng dikenali Faziziana Mokhtar, 22, kedua-dua cedera di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 


"Petugas kaunter Aduan Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuching dimaklumkan sekitar jam 6.15 pagi oleh petugas Pusat kawalan Kuching mengatakan ada satu kemalangan jalan raya berlaku di Jalan Bako melibatkan sebuah motosikal. 


"Siasatan lanjut di tempat kejadian medapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal bersama pemboncengnya yang datang dari arah lampu isyarat berdekatan PCCK menuju ke arah Bako telah terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya, akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. 


Dedahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada penunggang yang telah hilang kawalan.


Tegas Bingkok kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Kes masih dalam siasatan. 

Next Post Previous Post