Mak Nyah ditangkap, bantu siasatan kes bunuh wanita Indonesia di Batu Kawah



KUCHING-- Polis menahan seorang lelaki berperwatakan wanita ditangkap semalam bagi membantu siasatan kes bunuh wanita Indonesia yang dijumpai mati dengan kesan tikaman di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawa petang Ahad lalu. 


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki terbabit ditangkap sekitar jam 4.30 petang semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

 

"Saya mengesahkan tangkapan seorang lelaki tetapi dipercayai bukan suspek utama, dia menjadi saksi (yang melihat) kejadian (bunuh) itu. 


"Kita masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, kita lihat nanti sama ada maklumat hasil daripada tangkapan lelaki ini membantu siasatan kes atau tidak," katanya ketika dihubungi hari ini. 




Jelasnya lagi, lelaki terbabit juga tinggal berdekatan dengan rumah mangsa. 


Pada petang Ahad, seorang wanita Indonesia yang dijumpai mati dalam keadaan berlumuran darah dan beberapa kesan tikaman di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawa, dipercayai bermotifkan cemburu dan disamun. 


Abang Zainal yang mengesahkan kejadian itu berkata, ini berdasarkan hasil siasatan awal yang mendapati beberapa barangan milik mangsa didapati telah hilang. 



"Kita mengesyaki kes ini bermotif kes samun kerana beberapa barangan mangsa telah hilang dan ada kesan-kesan tanda diselongkar," katanya. 


Tegas Abang Zainal, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


"Mangsa warganegara Indonesia berusia 35 tahun mengalami kecederaan luka besar di leher bahagian hadapan kerongkong disyaki daripada tikaman senjata tajam.


"Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak masih menjalankan siastaan di tempat kejadian," katanya. 


Mengulas lanjut kes itu, Abang Zainal berkata, kejadian tersebut disedari apabila seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak mangsa, berusia dalam lingkungan 3 hingga 4 tahun dalam keadaan menangis datang ke sebuah kedai kopi. 


"Apabila pengadu bertanya kepadanya, dia telah membawa pengadu ke atas rumahnya, dan sebail sahaja pengadu masuk ke sebuah bilik mendapati ada seorang perempuan disyaki ibu kepada kanak-kanak tersebut dalam keadaan berlumuran darah tidak sedarkan diri. 


"Pengadu terus bertindak ke balai polis untuk mendapatkan bantuan," jelasnya. 


Tambahnya lagi, hasil siasatan awal, lokasi kejadian adalah dalam sebuah rumah bangunan kedai, Batu Kawa dan mangsa tinggal bersama dengan anak perempuannya.


"Tiada kesan pecah masuk rumah di lokasi kejadian dan keadaan mayat mangsa dalam keadaan terlentang.


"Terdapat luka besar di leher bahagian hadapan kerongkong disyaki daripada tikaman senjata tajam," ujarnya. 


Kes masih dalam siasatan.

Next Post Previous Post