Pelaburan untuk peningkatan nilai jangka panjang, Uggah

Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Gambar kredit UKAS 


KUCHING—Sebarang pelaburan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam syarikat senaraian awam adalah berdasarkan analisis dan penilaian menyeluruh yang dilakukan syarikat -syarikat yang terlibat, kata Timbalan Premier yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Penilaian itu melibatkan asas-asas syarikat berkenaan, prospek kewangan dan potensi syarikat masing-masing, katanya ketika menggulung perbahasan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri.


"Pelaburan kerajaan ini adalah bertujuan untuk peningkatan nilai jangka panjang dan bukan untuk dagangan jangka pendek," katanya sebagai respons kepada isu berkaitan dengan pelaburan kerajaan negeri dalam syarikat senaraian awam, Serba Dinamik Holdings Bhd yang dibangkitkan oleh See Chee How (PSB-Batu Lintang).


Serba Dinamik kini sedang menghadapi beberapa masalah tetapi Uggah berkata syarikat itu dalam proses penstrukturan semula dan penyempurnaan yang ditunggu-tunggu pelabur.


"Tiada jaminan boleh diberikan mengenai prestasi masa depan dan sebarang keputusan untuk melabur tidak boleh ditafsirkan sebagai menawarkan jaminan sedemikian.


"Dalam kes Serba Dinamik, tiada siapa yang boleh mengetahui sebarang keadaan yang tidak dijangka,” katanya.


Beliau berkata apabila Sarawak mengambil bahagian dalam tawaran awam permulaan (IPO) Serba Dinamik pada tahun 2017 dan pelaburan berikutnya sebelum pandemik Covid-19, kedudukan kewangan syarikat itu kukuh dengan pendapatan sebanyak RM2.72 bilion pada tahun 2017 dan RM4.52 bilion pada tahun 2019.


Serba Dinamik juga mendapat keuntungan selepas cukai sebanyak RM304.79 juta pada 2017 dan RM497.98 juta pada 2019, katanya.


"Setakat kini, kerajaan negeri telah menerima sebanyak RM22.552 juta pembayaran dividen daripada syarikat itu dengan hasil dividen tahunan antara 4.6 peratus hingga 6.9 peratus.


"Selain itu, kerajaan negeri juga menerima terbitan bonus dan pembahagian saham berjumlah 66 juta saham," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post