Pekerja OKU: Majikan di Sarawak boleh hubungi persatuan OKU


KUCHING—Majikan di Sarawak yang mahu mengambil Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai pekerja boleh menghubungi persatuan-persatuan golongan itu yang mempunyai senarai mereka yang ingin bekerja.

Naib Pengerusi Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) Siau Ging Lock berkata sebagai contoh, SSB juga mempunyai pegawai penempatan pekerjaannya yang bertugas khusus mencari pekerja buat golongan OKU penglihatan.

“Pegawai penempatan pekerjaan ini mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa mengintai sebarang peluang pekerjaan yang ada dan yang sesuai untuk dilakukan oleh golongan OKU.

“Sebagai contoh, antara kerja yang sesuai dilakukan mereka adalah seperti kerja di hotel untuk mengemas bilik, di restoran juga sebagai operator telefon.

“Apabila mereka dapat kerja nanti, SSB akan terus memantau mereka bagi melihat sama ada kerja itu bersesuaian dengan mereka. Kita akan buat tindakan susulan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Siau berkata walaupun tidak mempunyai kemampuan sama seperti orang lain, golongan OKU juga mampu melakukan kerja-kerja tertentu sekiranya dilatih dengan betul.

Beliau menjelaskan majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU juga akan memperoleh pelbagai manfaat antaranya diberi pelepasan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mungkin perkara ini yang ramai majikan di luar sana tidak tahu, manfaat jika mengambil OKU mereka boleh memohon untuk pengecualian cukai dan banyak lagi,” katanya dan menambah SSB juga menggalakkan golongan OKU untuk bekerja sendiri dan berdikari.

-- BERNAMA 
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.