PBDSB dakwa anak Dayak dianaktiri Yayasan Sarawak

Sawing Kredit

KUCHING—Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) mendakwa pelajar Dayak disisihkan daripada mendapatkan bantuan, pinjaman dan biasiswa Yayasan Sarawak meskipun mendapat keputusan baik serta melepasi syarat kelayakan.

Naib Presiden PBDSB Sawing Kedit turut mempersoal sama ada permohonan bantuan daripada badan itu akan diluluskan tanpa mengira latar belakang atau kaum pemohon.

"Ramai ibu bapa Dayak mengadu anak mereka tidak mendapat bantuan seperti pinjaman sekali bayar (one-off) atau biasiswa walaupun mereka melepasi kriteria dan syarat yang ditetapkan seperti keputusan ujian awam," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post. 

 
Tambahnya, lebih menyedihkan apabila sebilangan anak Dayak yang tinggal di pedalaman dan kurang berkemampuan, terpinggir dan dinafikan hak menerima bantuan walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Sehubungan itu, Sawing menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil mendapatkan maklumat terperinci daripada Yayasan Sarawak berhubung kriteria dan syarat yang diperlukan untuk mendapatkan biasiswa dan pinjaman.

Sebelum ini, Penguang menggesa anak Sarawak yang menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) memohon bantuan seperti pinjaman dan biasiswa daripada Yayasan Sarawak.

Sawing menggesa Penguang mendedahkan maklumat terkini berkaitan jumlah penerima bantuan, pinjaman dan biasiswa daripada Yayasan Sarawak mengikut pecahan kaum dalam tempoh 50 tahun.

Katanya, statistik dan data ini penting untuk menunjukkan ketelusan Yayasan Sarawak dalam membantu anak-anak tempatan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
Next Post Previous Post