-->

Notification

×

Iklan

Iklan

MASwings tambah satu penerbangan setiap hari sempena Hari Gawai

| Mei 23, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-23T08:38:47Z

MIRI: MASwings akan melakukan satu penerbangan tambahan setiap hari antara Kuching-Miri dan Limbang, berkuat kuasa 27 Mei hingga 7 Jun 2022 untuk memenuhi permintaan yang meningkat menjelang sambutan perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini. 


Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Pegawai Operasi (COO) MASwings, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, permintaan untuk lebih banyak tempat duduk penerbangan ke Limbang semasa tempoh perayaan ini juga bertepatan dengan cuti sekolah penggal pertama 2022. 


Beliau menjelaskan, berdasarkan sejarah penerbangan, permintaan untuk penerbangan bagi laluan ini semasa musim perayaan Hari Gawai adalah tinggi termasuk tahun ini. 


"Kami menjangkakan dengan cuti hujung minggu yang lebih panjang dan bertepatan dengan cuti penggal persekolahan, permintaan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya terutamanya sekarang kerana kita sudah memasuki fasa endemik dengan kemudahan perjalanan dalam negara," katanya dalam kenyataan. 


Nasaruddin berkata, penambahan satu penerbangan setiap hari ke Limbang (LMN) dari Kuching (KCH) dan Miri (MYY) dirancang seperti berikut; bagi sektor semasa harian atau mingguan, kekerapan di bawah Catatan PSO untuk laluan Kuching–Limbang ialah tiga kali seminggu, ditambah kepada kekerapan tujuh kali penerbangan sepanjang tempoh 27 Mei hingga 7 Jun, 2022. 


"Manakala laluan Miri–Limbang dengan kekerapan empat kali setiap hari atau 28 kali seminggu akan menerima tambahan 12 penerbangan (tambahan satu penerbangan setiap hari), dari 27 Mei hingga 7 Jun, 2022


"Perkhidmatan tambahan ini akan dikendalikan untuk pesawat MASwings ATR72 500 dan kami berbesar hati untuk menawarkan 'Tawaran Harvest Fiesta' dari serendah RM139 sahaja untuk tiket semua-dalam-sehala termasuk cukai dan daftar masuk 20kg, elaun bagasi sepanjang tempoh tersebut, sementara tempat duduk masih ada,” katanya lagi. 


Dalam pada itu, MASwings yang disifatkan sebagai 'Nadi Borneo', katanya sentiasa berusaha untuk menyediakan perhubungan yang baik dan selamat bagi masyarakat setempat untuk memenuhi keperluan perjalanan terutamanya semasa perayaan. 


Sehubungan itu, beliau berkata, MASwings amat berterima kasih kepada sokongan berterusan yang diterima daripada pelanggannya, penduduk tempatan serta pihak berkepentingan. 


"Semua tiket MASwings adalah termasuk 20kg bagasi daftar masuk dan minuman ringan yang ditawarkan, sebagai sebahagian daripada ketekalan syarikat penerbangan untuk menawarkan keselesaan kepada setiap penumpang semasa perjalanan. 


"Sebagai syarikat penerbangan untuk Sabah dan Sarawak, MASwings sentiasa mencari peluang untuk menyediakan tambang mampu milik terbaik di seluruh dan dalam Borneo kepada masyarakatnya," ujarnya. 


Menurutnya lagi, maklumat penerbangan tambahan yang dirancang tersedia untuk jualan dan tempahan melalui laman web MASwings atau Malaysia Airlines dan juga pejabat tiket dan ejen pelancongan yang dilantik.


"Pelanggan juga boleh menghubungi talian bebas tol di 1 300 88 3000 dan +60 7843 3000 (untuk luar Malaysia) bagi mendapatkan bantuan. Semua pejabat tiket Malaysia Airlines dan MASwings di seluruh Sabah, Sarawak dan Pulau Labuan dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk membantu penumpang dalam sebarang permintaan perjalanan segera.


"Jika pelanggan mahu mendapatkan maklumat lanjut perjalanan, mereka dinasihatkan untuk melayari laman web rasmi www.maswings.com.my ataupun www.malaysiaairlines.com," tambahnya. 

×
Berita Terbaru Update