KPDNHEP kesan 10 kes langgar AKHAP 2011

Gambar arkib

PUTRAJAYA-- Sebanyak 6,702 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit telah diperiksa sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 (SHMMP-HRP 2022) dari 26 April hingga 4 Mei lepas dan mendapati 10 kes telah melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011). 

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata kesalahan yang dikesan adalah membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.

"Penguatkuasaan ke atas pelaksanaan SHMMP-HRP 2022 ini akan diteruskan di seluruh negara sehingga tamat tempoh pelaksanaan skim pada 10 Mei 2022. Di samping itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuat kuasa sehingga 5 Jun 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut.

Beliau berkata keputusan kerajaan melalui KPDNHEP memanjangkan penguatkuasaan SHMMP-HRP 2022 dari 26 April hingga 10 Mei depan dari tarikh asal 6 Mei 2022 amat tepat kerana ia membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka dalam suasana harmoni dan riang ria tetapi selamat.

Katanya setelah dua tahun Aidilfitri dirayakan dalam keadaan tertutup dan terhad kalangan keluarga terdekat sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan Aidilfitri tahun ini memberi makna yang besar dan berbeza kerana saudara-mara dan sahabat handai saling kunjung-mengunjung dalam pelbagai majlis rumah terbuka yang meriah tetapi tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.