PETROS ambil alih perniagaan LPG di Sarawak

Gambar arkib

KUALA LUMPUR-- Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) hari ini mengumumkan penyempurnaan perjanjian pindahan perniagaan dan langganan saham untuk PETROSNiaga Sdn Bhd.

Penyempurnaan ini menandakan pengoperasian kerjasama tersebut bagi perniagaan gas asli cecair (LPG) di Sarawak.

Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat itu berkata bermula hari ini, semua silinder berisi gas Petronas Gas (hijau) merupakan PETROS (merah) yang dipasarkan oleh PETROSNiaga dan semua peniaga sedia ada Petronas LPG merupakan peniaga PETROS LPG.

“Ini merupakan komitmen bersama kami untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan LPG di Sarawak dengan menyediakan bahan api harian yang penting kepada semua rakyat Sarawak, disediakan secara lebih adil terutamanya untuk mereka yang berada di kawasan pedalaman.

“Pengoperasian kerjasama strategik ini memenuhi aspirasi kerajaan negeri Sarawak bagi perniagaan LPG yang dikendalikan PETROS ke seluruh negeri dan merealisasikan hasrat Ordinan Pengedaran Gas 2016 negeri,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETROS Janin Girie.

Pengarah Urusan dan CEO PDB Azrul Osman Rani berkata syarikat itu akan terus memberikan perkhidmatan untuk masyarakat Sarawak.

“Kerjasama ini adalah langkah strategik untuk menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kecekapan kedua-dua syarikat minyak dan gas untuk menyampaikan perkhidmatan lebih baik dan bernilai kepada pelanggannya, di samping meningkatkan pasaran LPG di negeri berkenaan,” katanya.

Perjanjian yang telah selesai dengan PETROS membabitkan penjualan perniagaan LPG Sarawak PDB kepada PNiaga dan langganan 49 peratus pegangan ekuiti dalam PNiaga.

Sementara itu, entiti bersama PETROSNiaga menampilkan lembaga pengarah bersama yang dipengerusikan oleh Abang Arabi Abang Narudin (Naib Presiden Kanan - Strategi Korporat, PETROS) dan wakil pemegang saham daripada PETROS dan PDB.

Pengarah sedia ada - Bong Siet Fah (Ketua Pegawai Kewangan PETROS) disertai oleh pelantikan baharu Pramela Vallinayagan (Ketua Perniagaan LPG, PBD) dan Farzlina Ahmad Murad (Ketua Pegawai Kewangan PDB).
Lai Ah Kiaw dilantik sebagai CEO PETROSNiaga.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post