Kes bunuh Eric: Majistret tetapkan 21 Jun untuk sebutan lanjut

kedua-dua tertuduh, Wendy Chai Xue Zhen, 36, dan Ling Kok Liang, 51, diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut. Gambar kredit The Borneo Post

KUCHING: Kes bunuh membabitkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang pada Mac lalu ditetapkan pada 21 Jun akan datang untuk sebutan semula.

Memetik laporan Utusan Borneo, tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini yang mana perintah tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Dora Undau.

Perintah itu dikeluarkan setelah membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, yang mewakili Timbalan Pendakwa Tan Chuan Yi. 

Ini berikutan laporan DNA dan laporan forensik belum tersedia. 

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh, Wendy Chai Xue Zhen, 36, dan Ling Kok Liang, 51, diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh iaitu pengasuh Eric dan suami didakwa di hadapan Majistret Zaiton Anuar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama pada 31 Mei lalu.

Kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan tersebut. 

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Eric.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka secara bersama antara 4 Mac lalu sekitar jam 5 petang dan 7 Mac lalu, sekitar jam 9.15 pagi di sebuah rumah di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa.

Eric sebelum ini dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu semasa dijaga oleh pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa.

Berikutan itu, operasi pencarian Eric di sekitar perairan sungai Muara Tebas di sini dilancarkan pada 13 Mac lalu dan dihentikan pada jam 6 petang, 19 Mac lalu.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dalam satu sidang media berkata kedua-dua tertuduh juga memilki lima waran tangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang daripada suspek juga dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Next Post Previous Post