Sarawak anjur dua Maraton gergasi awal Oktober ini

Karim (dua dari kiri) mempamerkan medal yang akan disediakan kepada para peserta larian. Gambar kredit Suara Sarawak

KUCHING: Sarawak bakal mengadakan Kuching Maraton 2022 (KM2022) edisi ke-7 bertempat di Padang Merdeka, Kuching pada 2 Oktober ini.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, aktiviti yang tergendala dua tahun ekoran wabak Covid-19 itu dijangka akan mendapat sambutan orang ramai khususnya peserta dari negara luar.

“Saya telah diberitahu pihak pengurusan bahawa mereka menyasarkan seramai 10,000 peserta di dalam anjuran KM2022.

“KM2022 terdiri daripada empat kategori terdiri daripada marathon penuh (42 Kilometer) pada jam 1 pagi, maraton separuh (21 km) pada jam 4 pagi, larian 10 km jam 5.30 pagi, diikuti 5 km jam 6.30 pagi,” katanya selepas merasmikan pelancaran kedua-dua larian maraton di Bangunan Baitulmakmur II, pagi tadi.

Sementara itu katanya, aktiviti larian jarak jauh akan disambung dengan Miri Maraton 2022 (MM22) edisi ke-5 yang akan diadakan di Taman Bulatan Miri pada 6 Oktober ini.

"Seramai 7,000 dijangka akan menyertai MM22 yang akan diadakan empat hari selepas KM2022 dan tiga kategori telah dibuka merangkumi 10, 21, dan larian 42 km,” ujarnya.

Dedahnya, kesemua peserta bagi setiap kategori dipertandingkan akan diberikan medal berlainan warna dan saiz mengikut kategori masing-masing.

Justeru, beliau menyeru para peserta atau mana-mana individu yang berminat untuk menyertai acara boleh mendaftar di laman web www.kuchingmarathon.com atau www.mirimarathon.com dalam masa terdekat.

Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan.
Next Post Previous Post