-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Kapal asing melanun di pelantar minyak perairan Bintulu

| Mei 21, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-21T14:45:28Z
Zin menunjukkan lokasi vesel yang menceroboh kawasan pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Bintulu. Gambar Maritim Sarawak

BINTULU--Sebuah vesel disyaki menceroboh dan mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni (unmanned platform) di barat laut Tanjung Kidurong di sini ditahan sekitar jam 12.05 tengah hari 19 Mei lalu.


Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tahan tersebut dilaksanakan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM ARAU menerusi OP PELANTAR MERAH 1/2022.


Katanya, operasi tersebut dijalankan bertujuan membanteras dan mengekang pencerobohan di pelantar tidak berpenghuni serta memastikan perairan negara selamat dan aman bagi aktiviti eksplorasi minyak dan gas asli.


Semasa sedang melaksanakan operasi di sekitar perairan Bintulu, pasukan KM ARAU telah menerima maklumat berkaitan aktiviti pencerobohan ke atas unmanned platform oleh vesel yang tidak dikenali.


"Berikutan itu KM ARAU berjaya mengesan sebuah vesel nelayan tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan sekitar jam 10.30 pagi dari sebuah pelantar yang tidak berpenghuni di perairan Bintulu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Zin Azman Md Yunus, KM ARAU kemudian bertindak mengejar vesel tersebut yang cuba melarikan diri dan dalam tempoh hampir dua jam berjaya memintas serta memberhentikan vesel suspek.


Tujuh suspek yang ditahan bersama vesel serta hasil rampasan diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut. Gambar Maritim Sarawak


Hasil pemeriksaan dan geledah katanya, pasukan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh tujuh kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga asing berumur antara 22 tahun hingga 40 tahun.


"Kesemua kru tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa. 


"Pihak penguat kuasa turut menemui beberapa peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang oleh pengadu seperti tali kabel, pakaian coverall, selimut, telefon satelit, radio serta jaket keselamatan berada di atas vesel suspek dan disyaki dicuri oleh kru vesel terbabit dari unmanned platform,"


Terdahulu, Maritim Malaysia turut menerima aduan daripada operator industri cari gali minyak dan gas berkaitan aktiviti pencerobohan oleh bot-bot yang disyaki nelayan asing di pelantar-pelantar tidak berpenghuni.


Peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang oleh pengadu. Gambar Maritim Sarawak


Menurut laporan berkenaan, penceroboh turut merosakkan peralatan serta mencuri barangan di atas pelantar berkenaan.



Sehubungan itu, kesemua tujuh suspek yang ditahan bersama vesel serta hasil rampasan diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.


"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 378 Akta Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.


"Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, bolehlah dikenakan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat manakala kes turut akan disiasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (AKTA 298)," katanya.

×
Berita Terbaru Update