-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Jangan main sabotaj, Abang Jo

| Mei 21, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-21T14:13:08Z
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Gambar Sarawakku

KUCHING—Setiap parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bertindak secara serentak dan mempunyai objektif yang sama agar dapat mempertahankan hak Sarawak demi masa depan rakyatnya, kata Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata setiap ahli perlu mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti dan rakyat pada setiap masa.


Beliau berkata apabila pucuk pimpinan memutuskan calon, setiap ahli parti mesti bersungguh-sungguh menyokong calon berkenaan.


“Jangan sabotaj separuh jalan. Kerana itu tanda kesetiaan,” kata Primier Sarawak itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan (TGM) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ke-25 di sini hari ini.


Mengimbau kemenangan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri tahun lepas, Abang Johari berkata perpaduan yang kukuh dalam perikatan itu telah membantunya merampas semula beberapa kerusi daripada pembangkang.


Beliau berkata kemenangan besar itu menunjukkan GPS sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15, dan berharap untuk memenangi semua 31 kerusi Parlimen di negeri ini.


Ini akan memberikan Sarawak suara yang kuat dalam memperjuangkan haknya seperti yang termaktub dalam perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata perjuangan untuk mendapatkan hak negeri tidak boleh disalah anggap seolah-olah Sarawak antipersekutuan.


“Tidak, kami hanya memperjuangkan apa yang menjadi milik kami seperti yang termaktub dalam perlembagaan, MA63 ditambah IGC. Tidak lebih tidak kurang daripada itu,” tegasnya.


Abang Johari mengucapkan tahniah kepada SUPP atas pencapaian cemerlangnya pada pilihan raya negeri yang lepas, menunjukkan parti itu bersatu dan memenangi kembali sokongan dari rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Cina.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update