Jolok kemaluan kanak-kanak perempuan 4 tahun, warga emas dijel 6 tahun, satu sebatan

Tertuduh mencabul kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun itu ketika mangsa membeli makanan ringan di sebuah kedai runcit. Gambar kredit Utusan Borneo

KUCHING—Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan terhadap penjaga kedai warga emas selepas didapati bersalah menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang berlaku pada 2020.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam menyampaikan keputusannya beliau berkata, pembelaan tertuduh yang kini berusia 65 tahun itu hanya penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun berkuat kuasa hari ini dan dikenakan satu sebatan, selari dengan Seksyen 25 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Dalam pada itu Dayang menjelaskan, dengan mengambil kira usia tertuduh dan mempunyai masalah kesihatan, hukuman dan sebatan tersebut adalah mencukupi.

Selain itu, tegasnya tertuduh berkemungkinan besar tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Sebelum ini, lelaki warga emas itu didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun pada hari kejadian, dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 6 petang pada 10 Ogos 2020 di sebuah kedai runcit di sebuah kampung di Padawan di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, mangsa pergi ke kedai runcit tersebut bersama neneknya pada hari kejadian.

Nenek mangsa menunggu di luar kedai, manakala mangsa masuk ke dalam untuk membeli makanan ringan dan semasa itu, tiada orang lain di kedai itu selain mangsa, penjaga kedai (tertuduh) dan nenek mangsa.  

Setelah selesai membayar dan menerima baki wang, tertuduh menjilat tangannya dan memasukkan tangannya ke dalam seluar mangsa serta menekan kemaluan mangsa.

Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya dan susulan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 17 Ogos 2020.

Selain itu, mangsa juga dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan obstetrik dan pakar ginekologi, namun mangsa dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh menerusi peguamnya Roland Thomas merayu agar tidak dikenakan hukuman berat susulan tertuduh mempunyai pelbagai masalah kesihatan seperti darah tinggi, kolesterol, pleural tuberculosis dan hyperglycaemia.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali menggesa mahkamah untuk mengambil kira perbezaan umur mangsa dan tertuduh, selain menegaskan kes seksual fizikal sebegini kerap dilaporkan oleh media.

Pada masa yang sama, tertuduh juga katanya, sudah cukup matang dan seharusnya mempunyai kecerdasan mencukupi untuk membezakan perkara yang betul atau salah.

Dalam pada itu, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tertuduh sementara membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Next Post Previous Post