10 lelaki ditahan kerana merusuh guna senjata

DSP Sila Kadong

LAWAS— Polis menahan 10 lelaki tempatan termasuk seorang remaja disyaki merusuh menggunakan senjata di bawah bangunan sebuah kafe dan bistro di sini pada 8 Mei lalu.

Kejadian melibatkan dua kumpulan itu berpunca daripada perselisihan faham dan rakaman video kejadian itu telah dimuatnaik di media sosial sehingga menjadi tular dan mendapat perhatian masyarakat.

 
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong, dalam kejadian itu seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan pada muka dan badan.

“Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, polis menahan suspek berusia 18 hingga 36 tahun ditahan dalam lokasi berasingan dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Siasatan telah dilengkapkan dan seramai lima daripada tangkapan itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Lawas di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang bagI mengelak kejadian sama berlaku pada masa hadapan.

Sila turut meminta agar penyebaran video dan gambar kejadian melalui media sosial dihentikan serta merta.

“Saya mengingatkan pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membangkitkan provokasi kepada mana-mana pihak.

Polis Lawas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi mengekalkan ketenteraman awam dan keamanan masyarakat di daerah ini,”katanya lagi.
Next Post Previous Post