Guru sentuh kemaluan pelajar mengaku tidak bersalah, mahkamah tetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes


KUCHING--Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes seorang guru lelaki yang didakwa atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.


Memetik laporan Utusan Borneo Online, Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan tarikh itu selepas tertuduh yang berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.


Pada masa sama Afidah turut memerintahkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 tidak didepositkan dua penjamin tempatan beralamat tetap di Kuching.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama. 


Di bawah Seksyen 14(a) SOACA 2017, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh disebat dengan minimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.


Sebelum ini guru terbabit didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap mangsa untuk tujuan seksual dengan cara menyentuh kemaluan mangsa pada 15 April lalu, sekitar jam 12.05 tengah hari di sebuah sekolah di sini.


Berikutan kejadian itu, mangsa menceritakan insiden berkenaan kepada ibunya sebelum ibu mangsa tampil membuat laporan polis.


Sementara itu, pihak pendakwaan iaitu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh susulan pertuduhan membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.


Beliau menegaskan, ia juga bagi mengelak tertuduh daripada melakukan kesalahan sama terhadap mangsa atau orang lain memandangkan tertuduh merupakan seorang guru.


Selain itu katanya, ia bagi mengelakkan tertuduh daripada melarikan diri. 


Tertuduh yang diwakili Peguam Roland Thomas bagaimana pun memohon agar tertuduh diberikan jaminan mahkamah atas alasan tertuduh telah menjawat jawatan sebagai guru di sekolah kerajaan di Matang selama lebih daripada 22 tahun dan mempunyai rekod kerjaya cemerlang.


Menurutnya, tertuduh yang mengajar subjek matematik, matematik tambahan dan fizik itu kini menjawat jawatan pengurusan dan memegang jawatan kanan di sekolah terbabit.


Jelasnya, tertuduh juga tidak mempunyai sebarang pasport dan tiada risiko bagi tertuduh untuk melarikan diri. 


"Selain itu, tertuduh mempunyai alamat tetap di sini dan menetap bersama ibu bapanya sejak 1977,” katanya. 

Next Post Previous Post