Pasangan suami isteri didakwa bunuh, dera anak saudara

Pasangan suami isteri dera hingga menyebabkan kematian kanak-kanak akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh. Gambar kredit Muhamad Nazreen Syah Musthafa / KOSMO

IPOH— Seorang pesara tentera dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak saudara mereka dua minggu lepas.


Zainuddin Noh dan Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, kedua-duanya berusia 40 tahun didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Aisha Farhana Muhammad Khirul Azral, lapan tahun, di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan Bandaraya 18, Desa Pengkalan, Lahat di sini antara 10 malam 13 Mei hingga 7 pagi 14 Mei lepas.


Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.


Pasangan suami isteri yang juga peniaga kecil itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof.


 Mereka juga menghadapi dua pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki yang juga adik si mati dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid.


Kedua-duanya didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa berusia tujuh tahun telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di tempat sama pada 1.30 petang dan 10.30 malam, 13 Mei lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hafizah Mohammad Pauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bagi kes berkenaan.


Nurul Hafizah tidak menawarkan jaminan kerana kedua-dua tertuduh telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan mahkamah menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula semua kes itu.


Pada 15 Mei lepas, polis menahan pasangan suami isteri itu susulan laporan kematian kanak-kanak perempuan berkenaan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada  3.14 pagi.


  -- BERNAMA

Next Post Previous Post