Geran Khas Tahunan: Sarawak masih berunding mahu formula yang sesuai

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING— Rundingan dengan Kerajaan Persekutuan masih berlangsung untuk mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran khas tahunan kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah geran untuk negeri itu tidak seharusnya ditetapkan sebaliknya diberi berdasarkan hasil pendapatan tahunan Kerajaan Persekutuan.

“Kami (Sarawak) amat praktikal dan pragmatik. Apabila anda (Kerajaan Persekutuan) meraih keuntungan, anda berkongsi (dengan Sarawak). Ia perlu berasaskan satu formula dan jika keadaan negara tidak begitu baik, kita sama-sama memikul bebannya.

“Jadi, berdasarkan formula itu, jika hasil pendapatan (Kerajaan Persekutuan) berkurangan maka jumlah geran juga akan kurang, anda tidak boleh tetapkan (jumlahnya). (Pada masa sama) Kita juga perlu mengambil berat tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Gedong di sini hari ini. 

Abang Johari berkata isu mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran itu sudah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya amat tegas dalam isu ini dan semasa pentadbiran kerajaan PH, saya sudah mencadangkan formula ini kepada Menteri Kewangan ketika itu namun sehingga kini, mereka belum menghasilkannya,” kata beliau.

Pada 22 Nov tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perjanjian yang lebih baik untuk kedua-dua negeri sedang dibincangkan dengan kerajaan menerusi Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, mengulas isu projek perumahan Sentoria Borneo Land yang terbengkalai, Abang Johari berkata kerajaan negeri bercadang untuk mengambil alih projek berkenaan daripada pemaju.

Beliau berkata proses pengambilalihan hanya akan dibuat selepas pemaju terbabit menyelesaikan masalah perundangan mereka.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post