COVID-19 sedia peluang kepada Malaysia selaras semula ekonomi

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Pandemik COVID-19 menyediakan peluang kepada Malaysia untuk melaras semula ekonomi dan negara perlu memanfaatkannya dengan menangani isu ekonomi jangka pendek, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.


Bercakap pada sesi panel di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dii Davos, Switzerland, Tengku Zafrul berkata sejak 2020, Malaysia telah memperkenalkan pakej-pakej rangsangan di samping menangani isu-isu jangka panjang di bawah tiga prinsip iaitu responsif, tanggungjawab dan pembaharuan. 


"Dalam tempoh jangka panjang, semuanya adalah tentang pembaharuan. Satu daripada perkara yang kami lakukan adalah semasa kami mengumumkan pakej rangsangan untuk menangani (isu) jangka pendek dan pada masa yang sama, kita perlu lihat sama ada ada ia mempunyai kesan (positif) dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada sesi panel WEF yang bertajuk ‘Taking the Long View.’ 


Memetik ekonomi gig sebagai contoh, Tengku Zafrul berkata industri itu menerima kesan semasa tempoh sekatan pergerakan ekonomi dan kerajaan telah meluaskan capaian perlindungan sosialnya kepada pekerja- pekerja gig termasuk memberi manfaat tunai. 


"Di Malaysia dan Asia Tenggara, ekonomi gig adalah sangat besar dan ia berkembang setiap hari, tetapi mereka tidak mempunyai perlindungan sosial kerana mereka tidak mencarum kepada dana pencen dan keselamatan sosial,” katanya.  


Beliau juga berkata banyak isu yang mempunyai impak merentasi jangka masa lebih panjang seperti pekerjaan dan taraf hidup, memerlukan usaha daripada kerajaan untuk mengimbangi kepentingan rakyat hari ini terhadap mereka yang akan hidup pada masa depan. 


“Ahli politik dan kebanyakannya penggubal dasar di banyak negara di seluruh dunia sering dituduh terlalu menumpukan kepada isu jangka pendek sehingga mengorbankan isu jangka panjang kerana mereka cenderung untuk berada di bawah tekanan untuk bertindak pantas dan menyediakan manfaat ketara dalam tempoh jawatan yang akan dipilih semula,” katanya. 


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.