Lazada, Nutribah kerjasama lonjak pendigitalan pertanian Sabah

Gambar hiasan kredit Jabatan Pertanian Sabah


KUALA LUMPUR—Lazada Malaysia (Lazada), menjelang Pesta Kaamatan, menjalin kerjasama dengan Nutribah, hab kesejahteraan semua-dalam-satu dan pengeluar makanan organik berkhasiat yang terkemuka di Sabah untuk menyokong dan merangsang pendigitalan sektor pertanian negeri dengan mempromosikan hasil tani dan produk keluaran peladang organik tempatan.


Matlamat utama kerjasama itu adalah untuk menangani kekurangan saluran pengedaran yang sesuai yang membolehkan petani dan peladang negeri itu untuk menjual hasil tanaman dan produk keluaran mereka.


Lazada dalam kenyataan hari ini berkata dengan perkongsian itu, Nutribah dan peladang organik di Sabah dapat memperluaskan saluran jualan mereka dan mengembangkan capaian kepada lebih satu pertiga rakyat Malaysia yang membeli-belah di platform Lazada, menjana lebih banyak pendapatan dan melindungi mata pencarian serta menjamin punca pendapatan masa hadapan para peladang di Negeri Di Bawah Bayu.


Ketua Pegawai Operasinya, Darren Rajaratnam berkata sokongan ke arah mendigitalisasikan sektor pertanian negeri Sabah juga merupakan komitmen berterusan pihak Lazada demi memperkasakan para penjual serta membantu membina komuniti tempatan yang mampan. 


“Kini terdapat peningkatan dalam permintaan untuk hasil tani segar dan produk kesihatan kalangan para pelanggan di Malaysia. Justeru itu, kami amat mengalu-alukan Nutribah dan rangkaian peladang organik mereka untuk menyertai Lazada, bagi membolehkan para pelanggan membeli produk mereka secara langsung,” katanya dalam kenyataan. 


Pengarah Eksekutif Nutribah, Preston Sean Soh dalam kenyataan sama berkata jalinan kerjasama dengan Lazada, membolehkan peladang menjual hasil tani dan produk keluaran mereka secara langsung kepada pelanggan pada kos yang berpatutan dan seterusnya menawarkan aliran pendapatan yang lebih stabil.


Sementara itu, sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, Lazada 6.6 Gen Gaya Sale yang bermula dari 27 Mei hingga 2 Jun 2022, akan menawarkan baucar penghantaran percuma eksklusif kepada para pelanggan di Sarawak, Sabah dan Labuan dalam usaha menjana trafik dan meningkatkan pendapatan untuk penjual seperti Nutribah, Sabah Tea dan EAcommerce.


Selain itu, pengguna Lazada di Sabah, Sarawak dan Labuan layak mendapat potongan RM5 bagi pesanan mereka dengan baucar istimewa Boost e-Wallet dengan pembelian minimum RM80.


Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.lazada.com.my/ atau muat turun aplikasi mudah alih Lazada.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post